MEKANIK maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang jengkaut. FOTO Ihsan Pembaca
MEKANIK maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang jengkaut. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang mekanik meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah jengkaut di Kilometer 10.4 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.22 petang itu, mangsa, Mohd Azman Arifin, 45, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan dilakukan mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Shah Alam menghala ke Ukay Perdana.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa melanggar bahagian belakang sebuah jengkaut yang berada di lorong kiri.

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, pemandu jengkaut berkenaan yang berusia 64 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

"Proses bedah siasat akan dilakukan selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 9:12 AM