Hazira Ahmad Zaidi


Pasir Mas: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas 61 kilogram (kg) syabu bernilai RM2.1 juta dan sebuah kenderaan mewah dalam serbuan di pangkalan haram berhampiran Pos Sega, Sungai Golok, Rantau Panjang, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 8.45 malam itu, sepasukan anggota daripada Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) menyerbu tiga lelaki bersama kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Velfire yang berhenti berdekatan Sungai Golok di sini.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha'ari Kamis berkata, ketika serbuan melalui Op Benteng itu kesemua suspek yang sedang mengangkat satu guni dari bot ke kenderaan berjaya melarikan diri ke arah Thailand melalui sungai.

"Hasil pemeriksaan lanjut, anggota menemui satu guni berwarna hitam mempunyai 61 paket serbuk teh jenama Guanyinwang dianggarkan seberat satu kilogram setiap disyaki mengandungi dadah jenis syabu.

Mohd Rosdi menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Rohanis Shukri
Mohd Rosdi menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Rohanis Shukri

"Jumlah rampasan termasuk kenderaan mewah berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM2.3 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterima, semua syabu itu untuk pasaran tempatan termasuk beberapa negeri luar Kelantan.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi keselamatan lain untuk mengenal pasti ketiga-tiga suspek yang melarikan diri.

Mengulas lanjut, Abu Hasan berkata, rampasan berkenaan memberi impak signifikan terhadap kejayaan keseluruhan Op Benteng dalam memperkukuhkan persempadanan negara sewaktu dilanda pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 8:36 PM