Siti Rohana Idris


SEJUMLAH 100 kilogram (kg) syabu RM7 juta yang dirampas pasukan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam dipercayai untuk kegunaan kira-kira empat juta penagih dadah di Kelantan dan Lembah Klang.

Dadah itu yang disembunyikan dalam paket teh herba dirampas pada 8.30 malam di tepi Jalan Lubok Gong-Jalan Rantau Panjang Lama selepas sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton terbabas.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Kamarulzaman Maarof berkata, sebelum itu anggotanya yang meronda dengan motosikal terserempak kenderaan terbabit yang dinaiki dua lelaki mencurigakan.

“Ketika anggota menghampiri kenderaan itu, pemandunya bertindak memecut kenderaannya. Anggota kemudian mengejar hingga kenderaan itu terbabas di simpang tiga dekat Kampung Tasek Permai, Rantau Panjang.

“Suspek sempat melarikan diri meninggalkan kenderaan itu, dan pemeriksaan menemui empat kotak berisi 100 paket teh yang mana di dalamnya ada ketulan kristal disyaki syabu seberat 100 kg.

“Barangan itu diletakkan di bahagian belakang kenderaan dan anggota turut menemui dokumen pengenalan diri seorang daripada suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

DADAH yang dirampas daripada suspek berusia 40-an. FOTO Ihsan PDRM.
DADAH yang dirampas daripada suspek berusia 40-an. FOTO Ihsan PDRM.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah.

Menurutnya lagi, ketulan kristal di dalam setiap pek teh berkenaan masing-masing seberat satu kilogram.

“Rampasan ini adalah yang terbesar di Kelantan bagi tahun ini dan kita percaya dadah itu untuk pasaran Kelantan dan Lembah Klang yang boleh digunakan untuk empat juta penagih.

“Modus operandi penyeludup adalah membawa masuk dari Thailand menerusi Sungai Golok dengan sampan dan dadah dibungkus dalam bungkusan lain seperti teh herba untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Kamarulzaman berkata, semua rampasan diserahkan kepada IPD Pasir Mas untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 12:50 PM