Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kerajaan meletakkan cabaran kepada penyelidik tempatan bagi menghasilkan vaksin kepada manusia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, ia sebagai persediaan terhadap kewujudan pandemik lain meskipun sehingga kini Malaysia masih belum mampu menghasilkan sendiri vaksin Covid-19.

"Ia adalah cabaran (kepada penyelidik) untuk menghasilkan vaksin bagi kegunaan manusia dalam tempoh berkenaan.

"Ini (Covid-19) bukanlah pandemik yang terakhir dan mungkin akan ada lagi pandemik atau epidemik lain daripada haiwan atau manusia, semua negara perlu bersedia pada masa depan," katanya.

Khairy berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Kolaborasi Kejuruteraan Sains dan Teknologi (CREST) Universiti Sains Malaysia (USM) Bukit Jambul, di sini, hari ini.

Setakat ini, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima geran kerajaan sebanyak RM5 juta bagi membangunkan vaksin Covid-19.

"Namun, kita tidak memberi harapan yang tinggi kerana ia masih di tahap penyelidikan pra-klinikal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 6:58 PM