LAPORAN portal MyMetro
LAPORAN portal MyMetro
Rafidah Mat Ruzki


Cyberjaya: Operasi mencari seorang lelaki yang dikhuatirkan lemas di Taman Tasik Cyberjaya diteruskan malam ini.

Bagaimanapun, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya Mohd Shafizol Mohamad Nor berkata, pihaknya hanya menggunakan pencarian pada permukaan air malam ini.

"Operasi selaman kita tangguhkan sehingga esok.

"Ia akan disambung semula kira-kira 8 pagi esok," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilihat menggunakan bantuan anjing pengesan petang tadi bagi mencari lokasi mangsa.

Pengendali anjing pengesan itu dilihat bergilir-gilir untuk membuat pencarian di permukaan air menggunakan bot dan bagi mengesan kedudukan mangsa sebelum lokasi ditandakan.

Terdahulu, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir dalam tasik di Taman Tasik Cyberjaya, tengah hari tadi.

Ketua Zon 5, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abu Bakar Abd Kadir, dilaporkan berkata kejadian kira-kira jam 12 tengah hari tadi, disedari beberapa pekerja pembersihan di taman awam itu.

"Berdasarkan maklumat awal, saksi kejadian ternampak seorang lelaki berusia 30an lemas di tasik ini," katanya kepada pemberita di lokasi.

Berita berkaitan

Lelaki dikhuatiri lemas di Taman Tasik Cyberjaya

'Lelaki itu terkapai-kapai sebelum tenggelam'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 11:40 PM