Zaid Salim


Kuala Berang: "Malam tadi saya mimpi suami datang beritahu rindukan saya dan dia juga minta tolong bawa dia naik (dari tasik).

"Syukur, pagi ini suami ditemui walaupun sangat menyedihkan (kerana sudah meninggal dunia)," kata Syarifah Ramli, 19, isteri kepada Ami Azzizol Abu Bakri, 21, yang ditemukan lemas di Tasik Kenyir pada 7.10 pagi hari ini.

Ketika mayat suaminya dibawa naik, Syarifah dilihat rebah dan tidak bermaya serta sukar menahan kesedihan.

Katanya, dia sangat sedih dengan apa yang berlaku namun, tetapi reda menerima takdir itu sekali gus mengakhiri penantiannya dan keluarga.

"Biarlah suami berehat di sana dengan tenang. Saya bersyukur Allah memperkenankan hajat saya untuk melihat suami buat kali terakhir dan membawa pulang jasadnya untuk disemadikan," katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Hulu Terengganu, hari ini.

Syarifah yang melangsungkan perkahwinan dengan Ami Azzizol pada 21 Mac lalu mengakui dia sangat bahagia menjalani kehidupan rumah tangga dengan arwah walaupun hanya seminggu bergelar isteri.

"Bagi saya, arwah bukan sahaja suami yang terbaik tetapi juga anak serta kawan yang baik," katanya.

Sementara itu, kakak arwah, Maizunira, 24, berkata, jenazah Ami Azzizol akan disemadikan bersebelahan kubur abang sulung mereka, Ami Amri yang meninggal dunia pada 2004, di Tanah Perkuburan Syed Yahya, Kampung Sungai Buaya, Dungun.

Katanya, arwah Ami Amri juga meninggal dunia kerana lemas pada usia 21 tahun, ketika menyelamatkan sembilan rakan nelayan selepas bot gentian kaca dinaiki mereka karam di muara Sungai Dungun.

Syarifah bersyukur mayat suaminya ditemui pagi ini. FOTO ZAID SALIM
Syarifah bersyukur mayat suaminya ditemui pagi ini. FOTO ZAID SALIM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 3:29 PM