GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kira-kira 300 produk mengandungi steroid anabolik, produk psikotropik, bahan terlarang lain serta produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bernilai RM1.2 juta, dirampas dalam satu operasi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Faridah Aryani Md Yusof berkata, dalam operasi Selasa lalu membabitkan cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu, sebanyak 10 premis diserbu.

"Tindakan ini diambil rentetan beberapa aduan awam mengenai penjualan produk steroid anabolik di platform e-dagang. Turut dirampas beberapa peranti digital seperti komputer peribadi, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium memasarkan produk," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Faridah Aryani berkata, penjualan produk-produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Manakala, steroid yang dikategorikan sebagai racun terkawal dan kerap disalah guna untuk membina otot badan, menurutnya hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi.

Beliau menjelaskan selain boleh merosakkan buah pinggang, penggunaaan steroid tanpa pengawasan, boleh menyebabkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan hormon di dalam badan.

Beliau menasihati pengguna supaya memastikan produk kesihatan yang ingin dibeli, mempunyai pelekat keselamatan hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL).

Katanya sebarang penjualan produk tidak berdaftar boleh dilaporkan ke laman sesawang www.pharmacy.gov.my, atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) http://moh.spab.gov.my atau mana mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran atau hubungi talian 03-78413200.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 3:16 PM