Azlan Muhammad Zain


PESILAT negara, Muhammad Afifi Nordin (gambar) mengakui perlu berusaha lebih keras sekiranya mahu mencapai kejayaan di pentas Sukan Asia 2018.

Afifi antara penyumbang emas Sukan SEA pada Ogos lalu apabila memenangi kategori seni tunggal putra.

“Kejayaan itu memang memberikan motivasi namun Sukan Asia adalah sesuatu yang berbeza dengan tahap lebih tinggi. Saya perlu membuat persediaan lebih mantap sekiranya mahu melakar kejayaan pada Sukan Asia 2018 nanti.

“Fokus utama adalah meningkatkan fizikal, ketahanan dan kemahiran. Saya tidak boleh memandang mudah terutamanya apabila saingan berlangsung di Indonesia yang turut mempunyai pesilat yang handal,” jelas atlet berusia 28 tahun itu.

Afifi melalui pengalaman pahit di Indonesia apabila meraih kedudukan ketiga pada Kejuaraan Silat Dunia 2016 di Bali selepas tewas kepada pesilat tuan rumah dan Singapura.

“Saya bangkit untuk memenangi Sukan SEA selepas itu dan berharap kekecewaan di Bali tidak akan berulang di Sukan Asia nanti,” tambahnya.

Silat pertama kali dipertandingkan di Sukan Asia apabila 16 emas ditawarkan secara keseluruhan dengan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sudah memasang impian untuk menyumbang emas terbanyak pada temasya benua itu.

“Kami perlu bersedia dan menyahut cabaran kerana ia adalah tugas sebagai atlet negara,” katanya yang mula mewakili negara sejak 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 2:05 PM