ZII Jia (kanan) bersama Axelsen selepas final perseorangan lelaki Seluruh England. FOTO AFP
ZII Jia (kanan) bersama Axelsen selepas final perseorangan lelaki Seluruh England. FOTO AFP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kejayaan pemain perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia merangkul gelaran Seluruh England, malam tadi turut diraikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli yang mengucapkan tahniah kepada Zii Jia yang menundukkan pemain nombor dua dunia Viktor Axelsen, berkata, beliau berkesempatan menyaksikan pertandingan akhir secara langsung.

Beliau berkata, Zii Jia mempamerkan permainan cemerlang dengan penuh strategi dan memberikan gambaran positif yang beliau juga mampu menempa nama sebagai antara lagenda sukan badminton yang bakal mengharumkan nama negara di masa depan.

"Tidak mustahil suatu hari nanti Zii Jia akan menjejaki legasi untuk menjadi pemain lagenda negara seperti Datuk Misbun Sidek, Datuk Lee Chong Wei dan lagenda lain.

"Semoga terus maju jaya buat Zii Jia, anda adalah Wira Negara," katanya yang diciap di Twitter, hari ini.

Aksi final yang berlangsung di Birmingham, England itu menyaksikan Zii Jia menewaskan Axelsen, 30-29, 20-22, 21-9.

Kejayaan pemain yang memegang ranking ke-10 dunia itu menamatkan penantian Malaysia selama empat tahun selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Berita berkaitan:

  • Zii Jia juara Seluruh England 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 10:27 AM