GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) merayu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mempertimbangkan prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian bagi membolehkan murid dan guru makan di kantin sekolah.

Setiausahanya Siti Normah Md Desa berkata, kaedah pembelian menerusi tempahan yang diguna pakai ketika ini menyebabkan ramai pengusaha kantin mengalami penyusutan pendapatan ketara sehingga 70 peratus.

"Lebih malang, ada pengusaha terpaksa gulung tikar dan menutup kantin berikutan kerugian serta tidak mampu menampung gaji pekerja.

"Berbeza jika murid dibenarkan makan di kantin kerana mereka boleh memilih pelbagai makanan sendiri," katanya kepada Metro Ahad, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan murid terutama di sekolah rendah lebih gemar memilih dan melihat sendiri makanan berbanding menerusi tempahan yang dilakukan sehari awal.

"Malah, menerusi kaedah tempahan ini, ramai murid tercicir berikutan ada sesetengah ibu bapa lupa untuk menempah makanan buat anak mereka.

"Ada sesetengah murid terpaksa berlapar di sekolah kerana tercicir untuk tempahan. Disebabkan itu persatuan berharap KPM menambahbaik SOP bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak," katanya.

Siti Normah turut mendedahkan ramai pengusaha kantin berhasrat untuk menarik diri dan menutup operasi mereka berikutan tidak mendapat pulangan modal yang setimpal.

"Kita perlu tahu, kaedah tempahan ini menyebabkan pengusaha kantin perlu menambah bilangan pekerja untuk menghantar makanan ke setiap kelas.

"Bayangkan, jika setiap sekolah mempunyai 30 hingga 40 kelas, berapa pekerja kantin diperlukan untuk tugasan ini kerana waktu rehat diperuntukkan hanya sekejap.

"Disebabkan itu, ada antara mereka tidak mampu beroperasi lagi kerana jumlah tempahan diterima kurang, tetapi terpaksa menambah bilangan pekerja menyebabkan pendapatan diterima sekitar RM500 hingga RM700 berbanding sebelum ini RM5,000," katanya.

Katanya, pihaknya sedia berbincang dengan KPM untuk SOP yang lebih baik supaya tiada pengusaha kantin terpaksa menutup operasi mereka.

"Kita mencadangkan supaya murid dibenarkan turun secara berperingkat ke kantin dan beberapa sesi rehat diwujudkan serta dipanjangkan waktu.

"Kami tahu semua pihak mengalami kesukaran akibat pandemik Covid-19 ini, termasuk kami juga tetapi diharap KPM dapat mempertimbangkan langkah terbaik buat golongan seperti kami," katanya.

Katanya, ketika ini semua pengusaha kantin diberikan moratorium sewa kantin selama sembilan bulan yang berakhir Jun depan.

"Bermula Julai depan, pengusaha kantin perlu membayar sewa kantin dan pastinya jika keadaan ini berterusan, saya percaya ramai lagi akan menutup operasi mereka," katanya yang menambah ketika ini PPKSM mempunyai 3,000 ahli berdaftar daripada 10,200 keseluruhan pengusaha kantin seluruh Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 1:42 PM