FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian samun kedai runcit dalam tiga serbuan berasingan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 23 hingga 35 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian samun di Bandar Baru Selayang di sini, Jumaat lalu.

Katanya, dalam kejadian itu, dua lelaki bersenjatakan parang menyamun kedai runcit terbabit yang baru beroperasi pada 8 pagi.

"Suspek mengikat kaki pemilik kedai runcit berkenaan dengan tali di belakang kedai.

"Suspek kemudian menyelongkar barang-barang dan mengambil pelbagai jenis rokok dan wang tunai anggaran berjumlah RM 2,000.

"Ketika suspek mahu melarikan diri melalui pintu depan kedai, anak perempuan mangsa datang dan turut disamun suspek.

"Suspek mengambil cincin emas yang dipakainya sambil mengacukan parang ke arah anak mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, susulan kejadian itu, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak menangkap empat lelaki disyaki terbabit dalam kejadian samun di sekitar Gombak dan Sentul.

"Polis turut merampas barang yang dipercayai hasil samun kedai runcit berkenaan di tiga lokasi berkenaan.

Pemeriksaan rekod lampu mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Katanya, suspek kini direman selama enam hari sehingga 30 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengesan rakan sejenayah yang masih bebas dan mengenal pasti pembabitan kumpulan ini di dalam lain-lain kes,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 8:21 PM