OUYANG Yujing. FOTO BERNAMA
OUYANG Yujing. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebaik tiba di Kuala Lumpur pada 20 Disember lalu, Ouyang Yujing tanpa berlengah memulakan tugas sebagai duta baharu China ke Malaysia dan mengambil peluang tempoh kuarantin untuk mempelajari lebih banyak mengenai negara ini.

Beliau mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan dan perdagangan, persatuan dan pemimpin masyarakat, walaupun secara maya.

Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di kedutaan di sini, Duta itu berharap keadaan akan segera kembali normal kerana tidak sabar untuk ingin bersua secara langsung dengan orang di Malaysia, dan berusaha mempererat serta meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-China.

Menurutnya, sebagai sahabat dan rakan kongsi, terdapat banyak peluang untuk kedua-dua negara mengeratkan lagi hubungan, terutama pada era pasca-Covid-19.

Dalam temu bual pertamanya dengan media Malaysia sejak tiba di sini, beliau berkongsi perancangannya dengan tumpuan utamanya adalah memastikan China dan Malaysia dapat bekerjasama menewaskan pandemik Covid-19 secepat mungkin.

Katanya, kedua-dua negara sudah bekerja rapat menentang pandemik itu sejak ia bermula tahun lalu dan merangsang kembali ekonomi.

"Ini juga keutamaan kami pada masa ini. Pandemik membawa kesan yang sangat besar terhadap ekonomi, masyarakat dan kehidupan mereka," katanya.

Beliau turut berharap pandemik segera berakhir dan dapat memulihkan ekonomi, dan kehidupan rakyat kembali normal.

Ouyang berkata, selama bertugas di sini, beliau ingin menumpukan kepada menyokong dan mempromosi komunikasi antara China dan Malaysia di semua peringkat dan bidang, termasuk kerajaan, parlimen, parti politik, akademik, media dan belia.

Katanya, hubungan itu tidak hanya mendapat manfaat daripada tugas dilakukan pemimpin kedua negara tetapi juga disumbangkan oleh sokongan aktif dan penyertaan rakyat kedua-dua negara.

Sehubungan itu ia dapat mendorong pertukaran sesama rakyat, menghasilkan hubungan persahabatan China-Malaysia yang lebih baik dan utuh.

Mengulas lanjut, Ouyang berkata: "Persahabatan antara rakyat adalah kunci untuk hubungan antara negara dan komunikasi yang telus menyumbang kepada persahabatan yang lebih mendalam."

Sektor pelancongan misalnya, beliau berkata, Malaysia adalah negara kedua terbesar yang mendapat kelulusan visa China, dan Beijing adalah sumber pelancong asing ketiga terbesar ke Malaysia, selepas Singapura dan Indonesia, serta sumber pelancong asing terbesar ke Malaysia selain negara-negara Asean.

Ini menunjukkan hubungan antara rakyat yang memberangsangkan untuk kedua-dua negara.

"Ketika menghadapi pencegahan dan pengendalian kebiasaan baharu pandemik, kami secara aktif mencuba pendekatan baharu, terus mengekalkan semangat dan meluaskan skop pertukaran antara rakyat dari dua negara," katanya.

Tambahnya, beliau dan kedutaan akan terus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan semua lapisan masyarakat, untuk mengadakan lebih banyak aktiviti dalam pelbagai bentuk dan topik.

"Pandemik ini sudah mempengaruhi pertukaran sosial dan budaya kita secara langsung, tetapi tidak dapat menghalang kita untuk saling berhubung dan meningkatkan persahabatan," katanya.

Beliau juga berharap potensi kerjasama kedua-dua negara akan terus diteroka, sehingga mencapai tahap perkembangan yang lebih baik dan pantas.

Katanya, banyak kemajuan dicapai menerusi kerjasama China-Malaysia, sebagai contoh, China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 12 tahun berturut-turut, dan sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar di sektor pembuatan selama lima tahun berturut-turut.

Selain itu, Universiti Xiamen Malaysia di Sepang adalah kampus luar negara pertama yang ditubuhkan oleh universiti terkenal China.

"Semua fakta ini sekali lagi menunjukkan asas yang kukuh, kelebihan dan potensi besar kerjasama kita. Saya harap China dan Malaysia akan mengadakan lebih banyak kerjasama dua hala yang baharu pada era pascapandemik, yang akan menggalakkan lagi pembangunan kedua-dua negara," katanya.

Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974, negara pertama di Asean yang melakukannya. Sejak itu, kedua-dua negara menjalin hubungan erat dan membangun perkongsian untuk kepentingan bersama dalam pelbagai aspek.

"Kedua-dua negara menikmati kepercayaan politik bersama, kerjasama rapat yang sangat bermanfaat, serta persefahaman dan hubungan yang erat antara rakyatnya.

"China dan Malaysia juga saling menyokong dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, yang meningkatkan lagi persahabatan yang sudah lama terjalin, dan menunjukkan semangat kerjasama dua hala.

"Kami dengan bangga menyatakan hubungan China-Malaysia sudah bertahan sekian lama dan akan terus makmur. Ini adalah misi dan tugas besar bagi saya sebagai duta China ke-16 ke Malaysia," tambah Ouyang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 8:29 PM