Gambar fail, Shafien Mamat. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, Shafien Mamat. FOTO Arkib NSTP.
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sebanyak 108 kertas siasatan tatatertib dibuka membabitkan kesalahan polis dan pasangan dalam media sosial, sejak tahun lalu hingga kini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, jumlah itu termasuk sembilan yang direkodkan tahun ini.

Berikutan itu, beliau mengingatkan pegawai dan anggota polis supaya menjaga nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan reputasi selain mengundang kritikan.

"Jangan sesekali salah guna media sosial dengan memuat naik perkara negatif dan jangan kenakan kawan tanpa pengetahuan mereka, kerana ia akan memberi kesan bukan sahaja kepada individu tapi juga organisasi," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Menurutnya, peringatan sama kepada pasangan kakitangannya, agar tidak memaparkan kehidupan mewah di media sosial bagi mengelakkan salah faham serta persepsi negatif masyarakat.

Shafien mengarahkan pasukan pemantau untuk mengawasi media sosial pegawai dan anggota bagi mengekang penyalahgunaan platform itu.

"Kita dapati ada yang mendedahkan barang kemas dipakai isteri secara melampau sedangkan mereka anggota biasa dan ini boleh dijadikan isu, walau mereka mungkin ada pendapatan sampingan lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja ke atas kakitangannya yang dikesan terbabit bersubahat dengan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di sekitar sempadan.

Katanya, enggan berkompromi dengan kegiatan begitu dan sedang menyiasat sekiranya ada campur tangan kakitangannya apabila penyeludupan dadah membolosi sempadan ketika sempadan masih ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 11:26 AM