Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 14 pelayan pelanggan (GRO) warga asing termasuk seorang pondan ditahan dalam serbuan di dua pusat hiburan di Taman Perindustrian KIP, di Gombak, tengah malam tadi.

Serbuan jam 11.50 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan tujuh wanita warga Vietnam dan seorang wanita dari Indonesia berusia antara 18 hingga 30 tahun selain seorang wanita tempatan yang juga penjaga premis berusia 39 tahun.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati dua daripada warga asing ditahan tidak mempunyai pasport, manakala selebihnya menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke negara ini.

“Ketika serbuan, terdapat 40 pelanggan berada di dalam premis. Difahamkan GRO terbabit menawarkan khidmat layanan pada harga antara RM100 hingga RM150,” katanya.

Azmi berkata, premis itu yang mempunyai lesen didapati aktif melakukan kegiatan itu, sejak kira-kira empat bulan lalu.

“Berdasarkan pengakuan penjaga premis terbabit, kehadiran GRO bertujuan menarik lebih ramai pelanggan datang ke pusat hiburan berkenaan.

“Selain hiburan muzik, pusat hiburan itu juga menyediakan permainan snuker kepada pelanggan,” katanya yang turut merampas wang tunai RM428 dalam serbuan di premis terbabit.

ANTARA GRO ditahan dalam serbuan berkenaan. FOTO Saifullizan Tamadi
ANTARA GRO ditahan dalam serbuan berkenaan. FOTO Saifullizan Tamadi

Beliau berkata, pada serbuan kedua, empat wanita warga Vietnam, seorang wanita dari Laos serta seorang pondan warga Thailand berusia antara 18 hingga 31 tahun selain seorang lelaki tempatan bekerja sebagai penjaga berusia 30 tahun ditahan.

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat 14 pelanggan di dalam premis ini dan semua GRO sedang leka menari di atas pentas tanpa menyedari kehadiran polis.

“Pemeriksaan mendapati premis ini tidak mempunyai lesen dan dipercayai aktif beroperasi sejak kira-kira tiga bulan lalu dengan menawarkan khidmat layanan GRO pada harga antara RM100 hingga RM150.

“Kami turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk berhibur termasuk alat muzik, pembesar suara, mikrofon dan televisyen selain wang tunai lebih RM1,200 di premis ini,” katanya.

Katanya, semua individu yang ditahan dalam serbuan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(3) akta yang sama, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 11 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1995,” katanya.

From: No’Rule

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 8:42 AM