RAKAMAN video tular menunjukkan beberapa khemah gerai rosak dan barang berselerak akibat kemalangan di Jalan Taman Mesra, Kajang, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
RAKAMAN video tular menunjukkan beberapa khemah gerai rosak dan barang berselerak akibat kemalangan di Jalan Taman Mesra, Kajang, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Pelapik getah terlipat di bawah pedal brek dipercayai menjadi punca sebuah kereta hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan lain dan tiga gerai makanan di Jalan Taman Mesra di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 3 petang itu menyebabkan seorang peniaga lelaki berusia 25 tahun cedera ringan terkena minyak panas selepas rempuhan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 58 tahun keluar dari kawasan parkir sebelum hilang kawalan kerana masalah brek.

"Pemandu kereta itu yang panik kemudiannya langgar sisi kiri depan sebuah Honda City dipandu seorang wanita berusia 39 tahun serta tiga gerai di kawasan berkenaan.

"Wanita itu turut mengesahkan pelapik getah pada kereta Proton Saga terbabit terlipat selepas membuat pemeriksaan di dalam kenderaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, kedua-dua pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Semalam, satu video berdurasi satu minit 52 saat menunjukkan beberapa khemah gerai rosak dan barang niaga berselerak di lokasi kejadian akibat kemalangan itu tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 2:13 PM