Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kini sedang dalam peringkat akhir penelitian oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Saiful Yazan Alwi berkata, pindaan berkenaan membolehkan jabatannya memperluas dan mengukuhkan bidang penguatkuasaan mereka.

Katanya, ketika ini, kuasa Maqis hanya di pintu masuk, stesen kuarantin dan premis kuarantin sahaja, namun sekiranya akta berkenaan dipinda, bidang kuasanya dapat diperluaskan di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak yang memilih Ordinan mereka.

"Melalui pindaan ini juga Maqis dapat bergerak sendiri termasuk membuat penangkapan dan pertuduhan kerana sebelum ini jabatan kami bergantung kepada kerjasama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Pindaan ini juga membolehkan Maqis menyerbu sendiri gudang atau premis di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand, yang dijadikan lokasi transit penyimpanan barangan seludup," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serahan Sumbangan Bekalan Makanan Haiwan kepada Zoo Negara di Pejabat Maqis, di sini, hari ini.

Saiful Yazan (kiri) menunjukkan ayam sejuk beku yang dirampas dan diserahkan kepada Zoo Negara sambil diperhatikan Pengarah Zoologi dan Vaterinar, Dr Naim Ramli, (tengah) dan Pengarah MAQIS Negeri Kelantan, Roslan Che At (kanan). FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Saiful Yazan (kiri) menunjukkan ayam sejuk beku yang dirampas dan diserahkan kepada Zoo Negara sambil diperhatikan Pengarah Zoologi dan Vaterinar, Dr Naim Ramli, (tengah) dan Pengarah MAQIS Negeri Kelantan, Roslan Che At (kanan). FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Pada majlis itu, Maqis menyerahkan sebanyak lapan tan ayam sejuk beku bernilai RM66,088 yang disahkan selamat sebagai bekalan makanan kepada haiwan selain bagi meringankan beban pihak Zoo Negara dalam tempoh pandemik Covid-19.

Saiful Yazan berkata, selain itu, Maqis juga sudah mendapat kelulusan untuk menerima 56 senjata api dan kini dalam proses untuk mendapatkan lesen bagi kegunaan anggota supaya penguatkuasaan lebih lancar.

Menurutnya, pihaknya juga merancang menambah anggota dalam masa terdekat memandangkan Maqis hanya mempunyai 545 anggota sahaja ketika ini.

"Maqis memegang tanggungjawab besar untuk menjaga keselamatan makanan dan industri pertanian agar biosekuriti negara terjamin selain memastikan tidak timbul isu halal yang menjadi sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 4:30 PM