Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat berkongsi semua maklumat berkaitan sindiket penipuan Macau Scam dan perjudian dalam talian membabitkan Addy Kanna dan Alvin Goh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perkongsian maklumat itu penting supaya pihaknya dapat mengambil tindakan yang tepat dan adil kepada pegawai serta anggota polis yang bersekongkol dengan sindiket terbabit.

Menurutnya, kes ini agak rumit kerana ia datang dari SPRM yang mana ditangkap dan diambil tindakan oleh SPRM sebelum diserah kepada polis.

"Jadi saya adalah autoriti nombor dua yang menyiasat perkara itu dan berharap SPRM berkongsi segala yang mereka ada untuk polis buat keputusan tepat dan adil.

"Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang akan bersidang yang mana keputusannya sama ada dibuang kerja, turun pangkat atau lain-lain yang difikir adil dan setimpal oleh SPP," katanya selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech bagi fasa pertama di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas 31 pegawai dan anggota polis yang dikenal pasti terbabit dalam sindiket bakal berdepan hukuman berat termasuk dibuang kerja.

Pada Disember lalu, media melaporkan seramai 29 pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Komisioner disiasat bagi kes penipuan Macau Scam dan judi dalam talian membabitkan Addy Kanna.

Terdahulu Harian Metro semalam melaporkan seramai 31 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian bakal berdepan hukuman berat tidak lama lagi.

Abdul Hamid dipetik berkata, proses bagi menjatuhkan hukuman ke atas mereka sudah dibawa ke pihak Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 6:28 PM