Tertuduh, Ahmad Zhaffir Mohamad Asri, 29, dipenjara selama lapan hari dan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba mencuri duit tabung di sebuah masjid di Kampung Seberang Pasir Mas, Salor di sini pada minggu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tertuduh, Ahmad Zhaffir Mohamad Asri, 29, dipenjara selama lapan hari dan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba mencuri duit tabung di sebuah masjid di Kampung Seberang Pasir Mas, Salor di sini pada minggu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Lelaki rabun dihukum penjara lapan hari dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencuri duit tabung masjid di Kampung Seberang Pasir Mas, Salor di sini, minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad Zhaffir Mohamad Asri, 29, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang melakukan percubaan mencuri duit tabung masjid.

Kesalahan itu dilakukan di Masjid At-Thoyyibah, Kampung Seberang Pasir Mas, Salor pada 2.17 petang, 25 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahril Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam, Roshayati Hassan.

Roshayati dalam rayuannya memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana tertuduh adalah orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Shahril bagaimanapun memohon satu hukuman yang setimpal dikenakan agar tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan hukuman penjara selama lapan hari dan denda sebanyak RM1,500 terhadap tertuduh selain tambahan dua bulan penjara sekiranya gagal membayar yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 2:44 PM