Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dengan selepas merampas syabu seberat 623.76 kilogram (kg) bernilai RM22.46 juta yang disembunyikan di ruang khas di bahagian bawah lori di Bukit Mertajam, dekat sini, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, kegiatan itu terbongkar selepas anggota Unit Bermotosikal (URB) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mengesan lori seberat tiga tan yang diparkir dalam keadaan mencurigakan pada 2 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tiga warga Indonesia sedang memunggah dadah dari lori ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda BRV.

Menyedari kehadiran polis, tiga suspek berkenaan melarikan diri namun seorang daripadanya berusia 23 tahun berjaya ditahan.

"Pemeriksaan pada lori berkenaan menemukan 495 bungkusan dadah jenis syabu dianggarkan seberat 511.95 kg bernilai RM18.43 juta.

"Polis kemudian menemui sebanyak 101 lagi bungkusan dadah seberat 106.915 kg yang disembunyikan di bawah papan lantai lori berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Razarudin berkata, siasatan lanjut terhadap suspek membawa polis ke rumahnya di sebuah kondominium di Bukit Mertajam, di sini, dan menemukan lima lagi bungkusan dadah seberat 4.895 kg.

Susulan daripada penemuan itu, beliau berkata, polis menahan empat suspek berusia antara 27 hingga 51 tahun yang ditahan di sekitar Kulai dan Seri Alam, Johor serta di Sungai Buloh, Selangor, bagi membantu siasatan.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif dadah dan satu daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Sindiket berkenaan aktif sejak Mei tahun lalu dan bekalan dadah dipercayai dibawa masuk menerusi Kelantan, transit di Pulau Pinang bagi pasaran tempatan dan Indonesia.

RAZARUDIN (dua dari kanan) SYABU yang dirampas. FOTO Audrey Dermawan.
RAZARUDIN (dua dari kanan) SYABU yang dirampas. FOTO Audrey Dermawan.

"Dadah ini sekiranya dipasarkan, boleh digunakan oleh seramai 3.1 juta penagih," katanya lagi.

Razarudin berkata, dua lagi suspek warga Indonesia yang melarikan diri itu dikenali sebagai Zulfikar, 32, dari Taman Pelangi, Perai dan Hafis Farezza, 21, dari Jalan Juru Sentral, Bukit Mertajam.

"Polis percaya mereka masih berada dalam negara memandangkan pasport mereka ditemui dalam lori.

"Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Indonesia bagi membantu siasatan serta mengesan ahli sindiket yang terbabit," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 2:08 PM