ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang pendaki wanita yang cedera pada kaki kiri ketika mendaki Bukit Besi, Jalan Alam Damai di sini. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang pendaki wanita yang cedera pada kaki kiri ketika mendaki Bukit Besi, Jalan Alam Damai di sini. FOTO Ihsan Bomba.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang pendaki cedera ketika mendaki Bukit Besi dekat Jalan Alam Damai di sini, hari ini, sebelum diselamatkan pasukan bomba.

Difahamkan, wanita berusia 20-an itu mendaki bukit berkenaan bersama beberapa rakan dan mengalami kecederaan di kaki kiri ketika berada di puncak bukit.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 9.58 pagi lalu sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

Komander Operasi Kanan Mohd Rizuan Hasan berkata, anggota terpaksa mengambil masa selama satu jam mendaki bukit berkenaan dengan membawa bersama peralatan menyelamat.

"Pasukan tiba di lokasi mangsa berada pada jam 12.22 tengah hari. Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tidak dapat berdiri dengan baik.

"Anggota memberikan rawatan awal sebelum membawa mangsa turun menggunakan pengusung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa berjaya dibawa turun dengan selamat sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.42 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 3:56 PM