Mohd Amin Jalil


Seremban: Kluster dicetuskan sebuah kilang sarung tangan di Kawasan Perindustrian Dioh Kuala Pilah, dekat sini, menjadi penyumbang kepada peningkatan kes baharu Covid-19 di Negeri Sembilan, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, ia berpandukan laporan Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), kluster industri Dioh merekodkan penambahan 122 kes baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes kluster itu kepada 131 kes.

"Setakat tengahari semalam, 468 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan CPRC, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 26,052 kes.

"Kluster Dioh yang dikaitkan dengan kilang di Kuala Pilah itu menjadi penyumbang tertinggi apabila merekodkan 122 kes baharu, semalam, selepas saringan dibuat ke atas 468 individu," katanya.

Menurutnya lagi, terdapat 15 kes kematian berkait dengan Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini, semalam.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Terdahulu, Pegawai Daerah Kuala Pilah Mohd Faizal Abdul Manap memaklumkan sebuah kilang sarung tangan di Kawasan Perindustrian Dioh Kuala Pilah diarahkan tutup selama 14 hari bermula Rabu lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD ) Kuala Pilah berkata, tindakan itu diambil susulan terdapat lapan pekerjanya yang disahkan positif Covid-19.

"Hampir 95 peratus daripada keseluruhan pekerja kilang terbabit terdiri daripada warga asing dari Bangladesh," katanya.

Kelmarin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kawasan perumahan Mukim Juasseh, Kuala Pilah, bermula hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 9:58 AM