POLIS mengiringi van logistik DHL yang membawa bekalan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech yang selamat tiba di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di Hospital Melaka. FOTO Iqmal Haqim Rosman
POLIS mengiringi van logistik DHL yang membawa bekalan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech yang selamat tiba di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di Hospital Melaka. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Amir Mamat

Melaka: Kenderaan membawa 8,190 vaksin jenis Pfizer-BioNTech tiba di Hospital Melaka jam 11.55 pagi tadi untuk disimpan.

Ketibaan kenderaan diiringi enam kereta pengiring itu disambut Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman.

Terdahulu, van syarikat penghantaran barang itu memasuki Tol Ayer Keroh jam 11.45 pagi.

Rahmad berkata, baki 2,810 dos vaksin untuk fasa pertama itu akan diterima Jumaat ini.

"Bagi fasa pertama, pemberian vaksin akan membabitkan golongan pemberi vaksin pada Jumaat ini diikuti kepemimpinan kerajaan diketuai Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Turut menerima vaksin pada hari berkenaan adalah anggota Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pegawai kerajaan pada 2 Mac ini sebelum disusuli petugas barisan hadapan," katanya ketika ditemui di luar perkarangan Hospital Melaka, hari ini.

Melaka akan menerima sebanyak 600,000 vaksin bagi membendung penularan pandemik berkenaan.

Imunisasi itu ditawarkan secara sukarela dengan pengambilan vaksin sepanjang tempoh pandemik adalah percuma.

Pemberian vaksin itu akan diberi secara berfasa iaitu fasa pertama membabitkan seramai 11,000 petugas barisan hadapan yang akan menerimanya pada 2 Mac hingga 30 April ini, diikuti fasa kedua bagi 250,000 pesakit kronik dan warga emas (Mei hingga Ogos) dan fasa ketiga pula membabitkan 400,000 penduduk berusia 18 tahun ke atas (September hingga Februari 2022).

Sebanyak 16 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) membabitkan tiga hospital dan 13 klinik kesihatan sudah dikenal pasti di negeri ini untuk pengambilan vaksin bagi fasa satu hingga fasa tiga.

Turut disediakan lokasi pemberian vaksin berpusat di beberapa dewan orang ramai termasuk Dewan Tun Ali, Bukit Katil dan Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau bagi fasa kedua kelak.

Pendaftaran penerimaan boleh dilakukan dengan beberapa cara iaitu menerusi aplikasi My Sejahtera, menghubungi bilik gerakan Jabatan Kesihatan negeri di talian 06-2356876 atau emel [email protected].

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 1:42 PM