SULAIMAN (kanan) melihat cili yang ditanam ketika mengadakan lawatan di Projek Teknologi Hijau Dan Tanaman Cili Di Bandar Teknologi Hijau, Ayer Keroh hari ini.Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan (kiri). FOTO Bernama
SULAIMAN (kanan) melihat cili yang ditanam ketika mengadakan lawatan di Projek Teknologi Hijau Dan Tanaman Cili Di Bandar Teknologi Hijau, Ayer Keroh hari ini.Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan (kiri). FOTO Bernama
Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan negeri akur dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menolak permohonan kelonggaran merentas daerah di Melaka seperti dikemukakan baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan menyifatkan ia sebagai usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 sekali gus menjamin keselamatan dan kesihatan orang awam.

"Kita dah mohon (merentas daerah) baru-baru ini namun tidak dibenarkan MKN. Permohonan itu adalah untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan di Melaka dengan memberi kebenaran penduduk mengunjungi pusat pelancongan yang terdapat di daerah lain.

"Kita terpaksa menunggu sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat pada 4 Mac ini dan berharap keadaan di negeri dan negara kita kembali pulih," katanya selepas melawat Projek Tanaman Cili Menggunakan Teknologi Hijau dikenali sebagai GrasiCili di Bandar Hijau, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan negeri mengemukakan permohonan kepada MKN untuk membolehkan penduduk di negeri ini merentas daerah sebagai satu daripada usaha menghidupkan semula sektor pelancongan yang `malap' akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Langkah berkenaan adalah untuk membolehkan sektor pelancongan di negeri ini dibangunkan semula sekali gus dapat menjana semula ekonomi negeri.

Ini kerana, sektor pelancongan menyumbang kepada 48 peratus kepada ekonomi negeri.

Sementara itu, Sulaiman berkata, kerajaan negeri sudah bersedia untuk menerima ketibaan fasa pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, esok.

Katanya, vaksin terbabit diterima oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan akan ditempatkan di Hospital Melaka dengan kawalan yang ketat oleh pasukan keselamatan.

"Kita akan terima esok dan akan ditempatkan di lokasi khas di Hospital Melaka. Insya-Allah, bagi fasa pertama 11,000 vaksin akan mula diberikan kepada golongan petugas barisan hadapan bermula 2 Mac hingga 30 April ini," katanya.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dijangka menjadi individu awal yang akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech minggu depan dan disusuli Ketua Menteri, anggota Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Sebanyak 600,000 vaksin akan diperoleh Melaka bagi membendung penularan pandemik berkenaan.

Imunisasi itu ditawarkan secara sukarela dengan pengambilan vaksin sepanjang tempoh pandemik adalah percuma.

Pemberian vaksin itu akan diberi secara berfasa iaitu fasa pertama membabitkan seramai 11,000 petugas barisan hadapan yang akan menerimanya pada 2 Mac hingga 30 April ini, diikuti fasa kedua bagi 250,000 pesakit kronik dan warga emas (Mei hingga Ogos) dan fasa ketiga pula membabitkan 400,000 penduduk berusia 18 tahun ke atas (September hingga Februari 2022).

Sebanyak 16 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) membabitkan tiga hospital dan 13 klinik kesihatan sudah dikenal pasti di negeri ini untuk pengambilan vaksin bagi fasa satu hingga fasa tiga.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 12:24 PM