BANJIR melanda Kampung Sinar Budi Baru di Taman Desa Wira, Batu Kawa selepas hujan lebat berterusan sejak malam tadi. FOTO Mohd Roji Kawi
BANJIR melanda Kampung Sinar Budi Baru di Taman Desa Wira, Batu Kawa selepas hujan lebat berterusan sejak malam tadi. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kuching: Seramai 755 mangsa banjir daripada 211 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir yang berlaku hari ini.

Semua mangsa banjir itu kini berada di sembilan PPS di tiga daerah iaitu di Kuching, Lundu dan Samarahan.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, daerah Kuching mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 421 orang daripada 124 keluarga.

"Ia membabitkan seramai 280 mangsa daripada 68 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Sinar Budi Baru, 85 mangsa daripada 28 keluarga di SJKC Chung Hua Sungai Tengah dan 56 mangsa daripada 28 keluarga di Dewan Masyarakat Stapok.

"Di daerah Lundu pula, seramai 99 mangsa daripada 24 keluarga kini ditempatkan di Balai Raya Kampung Paon, Sematan," katanya.

Sementara itu di daerah Samarahan, sebanyak lima PPS itu buka iaitu di Balai Raya Kampung Sungai Empit yang menempatkan seramai 35 mangsa daripada tujuh keluarga, 31 mangsa daripada sembilan keluarga di Dewan Suarah Kora Samarahan dan 152 mangsa daripada 38 keluarga di Dewan Masyarakat Kampung Pengkalan Kuap.

"Dua lagi PPS di Samarahan ialah Surau Kampung Bukit Berangan yang menempatkan seramai enam mangsa daripada dua keluarga dan Balai Raya Kampung Merdang Lumut yang menempatkan 11 mangsa daripada tujuh keluarga," katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa, Mohd Hatta Habuni, 31, berkata air naik dengan cepat bermula 4 pagi tadi selepas hujan lebat berterusan sejak 7 malam tadi.

Beliau berkata, air mula memasuki rumahnya bermula dari bahagian dapur pada 4.30 pagi.

"Ketika itu saya hanya memikirkan keselamatan dua anak saya yang berusia sembilan tahun dan seorang lagi baru berusia lapan bulan.

"Air naik dengan cepat menyebabkan kami terperangkap di rumah seketika sehinggalah pasukan penyelamat tiba membawa keluarga saya ke pusat pemindahan dengan bot kira-kira 9 pagi," katanya.

Kejadian banjir hari ini adalah yang keempat melanda beberapa daerah di Sarawak dalam tempoh lebih sebulan.

Banjir pertama di Sarawak tahun ini melanda pada 13 Januari lalu, diikuti gelombang kedua pada 30 Januari dan yang ketiga pada 3 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 6:31 PM