NORA Yaacob (kanan) menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 kepada Nor Azila (kiri)  sambil disaksikan Saiful Adli (tengah) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Surau, Pendek. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
NORA Yaacob (kanan) menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 kepada Nor Azila (kiri) sambil disaksikan Saiful Adli (tengah) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Surau, Pendek. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Saya tidak menyangka arwah suami mempunyai Pencen Penakat yang ditinggalkan buat kami sekeluarga, terutama untuk membesarkan tiga anak selepas pemergiannya," kata Nor Azila Mohamed.

Nor Azila, 35, adalah balu kepada Mohd Rozi Husain, 47, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 130, Jalan Raya Timur Barat, Jeli pada 30 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, Mohd Rozi bersama Nor Azila dan tiga anak mereka berusia antara setahun hingga 7 tahun serta kakak ipar dan dua anak saudaranya terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis kenduri di Gerik, Perak.

Insiden itu menyebabkan Mohd Rozi meninggal dunia selepas sehari dirawat di Hospital Jeli apabila kereta Perodua Bezza dinaikinya bertembung dengan Perodua Myvi.

Turut maut dalam kemalangan itu adalah kakak Norazila iaitu Rohaida Mohamed, 39, dan anak saudaranya, Nor Damia Kamaruddin, 11.

Nor Azila berkata, lebih menyedihkan lagi, anak keduanya, Muhammad Muizuddin, 5, kini sedang bertarung nyawa dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berikutan parah di kepala, bahu serta tulang pinggul akibat kemalangan itu.

"Setiap saat, saya mendoakan agar Muhammad Muizuddin diberikan kekuatan untuk terus melawan sakitnya itu kerana saya tidak sanggup melihat dia terbaring tidak sedarkan di atas katil.

"Saya mengharapkan ada keajaiban berlaku dan Muhammad Muizuddin kembali sedar kerana tidak sanggup lagi kehilangan orang disayangi selepas arwah suami pergi buat selama-lamanya," katanya.

Terdahulu, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 kepada Nor Azila sambil disaksikan Ahli Dewan Undangan (Adun) Salor, Saiful Adli Abu Bakar di rumahnya di Kampung Surau, Pendek, di sini, hari ini.

Nor Azila berkata, dia menzahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada Perkeso yang banyak membantu menguruskan hal berkaitan Pencen Penakat diperoleh arwah suaminya selepas mengetahui arwah terbabit dalam kemalangan.

"Saya hanya mengetahui suami layak menerima Pencen Penakat selepas dihubungi Pegawai Skuad Perkeso Prihatin dan segala urusan diselesaikan dalam tempoh singkat.

"Menerusi Pencen Penakat ini, sudah pasti ia memberi kelegaan kepada saya untuk membesarkan tiga anak iaitu Nur Imani berusia setahun, Muhammad Muizuddin, 5, dan Muhammad Wafiuddin, 7," katanya yang bekerja sebagai operator kilang di Pengkalan Chepa.

Sementara itu, Nora berkata, pihaknya mengetahui mengenai kejadian itu melalui media dan selepas membuat semakan mendapati Allahyarham Mohd Rozi adalah salah seorang pencarum Perkeso yang masih aktif.

"Berdasarkan rekod, arwah yang bekerja sebagai pemandu van dengan syarikat mencarum sejak Disember 2004 sehingga sekarang, sekali gus memenuhi kelayakan untuk mendapat Pencen Penakat Perkeso.

"Balu arwah dan tiga anak mereka layak menerima Pencen Penakat sebanyak RM535.50 sebulan yang dibayar seumur hidup, manakala anaknya dibayar sehingga mencapai umur 21 tahun atau sehingga mendapat Ijazah Pertama sekiranya mereka belajar di institut pengajian tinggi (IPT)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 5:27 PM