KEADAAN tanah runtuh di Taman Wira, Pedah, Jerantut. FOTO IHSAN MB PAHANG
KEADAAN tanah runtuh di Taman Wira, Pedah, Jerantut. FOTO IHSAN MB PAHANG
Asrol Awang


Kuantan: Tindakan pemindahan penduduk Taman Wira, Pedah di Jerantut akan dilakukan sekiranya keadaan semakin berisiko susulan kejadian tanah runtuh di kawasan terbabit, Khamis lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu untuk memastikan keselamatan penduduk Taman Wira terjamin.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini, runtuhan terbabit tidak menjejaskan rumah di taman berkenaan.

"Bagi menjamin keselamatan penduduk, kerajaan negeri sudah mengarahkan kerja pembaikian dilaksanakan segera.

"Kerja itu termasuklah pembinaan struktur 'gabion' seperti dicadangkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Jerantut.

"Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut, kejadian tanah runtuh itu berlaku pada 1 pagi Khamis lalu susulan hujan lebat berterusan melebihi tiga jam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu aliran air anak Sungai Nahar yang laju seterusnya menghakis tebing 'concrete slab' sedia ada hingga menyebabkan ia runtuh.

Menurutnya, papan tanda dan kon keselamatan sudah dipasang di sekitar kawasan terjejas dan kakitangan JPS dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) akan melakukan pemantauan secara berkala.

Katanya, setakat ini, runtuhan itu tidak menjejaskan rumah, tetapi tindakan pemindahan penghuni akan dibuat sekiranya keadaan semakin berisiko.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 7:35 PM