ANTARA spesies burung yang dirampas dalam pemeriksaan di sebuah premis di Seri Kembangan, Serdang, Ahad lalu. FOTO IHSAN PERHILITAN
ANTARA spesies burung yang dirampas dalam pemeriksaan di sebuah premis di Seri Kembangan, Serdang, Ahad lalu. FOTO IHSAN PERHILITAN
Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Serbuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ke atas sebuah premis di Seri Kembangan di sini, Ahad lalu merampas 82 burung pelbagai spesies dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, serbuan dilakukan anggota penguatkuasaan Perhilitan Negeri Selangor pada jam 2.45 petang.

Katanya, pemeriksaan menemukan tujuh spesis burung terdiri daripada 60 burung Mata Putih Timur, burung Pikau (11), burung Tiong Mas (4), burung Bayan Serindit (3), burung Daun (2), burung Pucung Kuak (1) dan burung Bayan Nuri (1).

"Siasatan awal mendapati pemilik premis itu menyimpan hidupan liar berkenaan tanpa sebarang dokumen penyimpanan rasmi yang dikeluarkan oleh Perhilitan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengesan pemilik kedai terbabit.

"Kesemua barang kes dibawa ke Jabatan Perhilitan Negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya dan laporan polis dibuat di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Seksyen 68(1)(a) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 1:00 PM