Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Seremban: Empat lelaki termasuk seorang remaja bawah umur didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang lelaki di sebuah rumah di Pulai Villa, Sikamat pada bulan lalu.

Mohd Fitri Zan, 25, dan Mohd Zairizan Zainal, 41, didakwa membunuh Tong Wai Sai, 43, di sebuah rumah di Jalan Pulai Impian 17, Pulai Villa, Sikamat pada 3 pagi, 23 Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusof dan tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret V Vanita, seorang lagi tertuduh Mohammad Hairul Fazley, 20, dan seorang remaja berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat membunuh lelaki yang sama di lokasi dan tarikh sama.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 dan Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi, manakala Mohd Fitri diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan Nabila Habib; Mohd Zairizan diwakili Grace Nathan; Mohammad Hairul diwakili Hasnan Hamzah dan remaja bawah umur tidak diwakili peguam.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 4 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 3:28 PM