GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Prosiding inkuiri bagi menyiasat aduan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer yang dijalankan secara tertutup oleh Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) akan didengar, Khamis ini.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya menolak permohonan Hamid Sultan selaku pemohon untuk menangguhkan prosiding di hadapan JEC sementara menunggu rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali ketika dihubungi Bernama berkata, mahkamah menolak permohonan itu selepas mendapati Hamid Sultan gagal menunjukkan sebarang keadaan khas bagi membolehkan penangguhan berkenaan.

"Hakim itu berpendapat JEC masih belum memutuskan sama ada pemohon telah melanggar Kod Etika Hakim dan JEC harus diberi peluang untuk menjalankan tugas sebagaimana diperuntukkan bagi memutuskan mengenai aduan yang dibuat terhadap pemohon," katanya yang turut memaklumkan prosiding di hadapan JEC itu akan didengar pada Khamis ini.

Prosiding di hadapan Hakim Mariana hari ini dijalankan melalui aplikasi Zoom, yang turut disertai peguam Datuk Joy Wilson Appukuttan, mewakili Hamid Sultan.

Sementara itu, Appukuttan juga mengesahkan perkara itu dan memaklumkan prosiding terhadap anak guamnya akan berlangsung secara tertutup di Istana kehakiman, Putrajaya pada 3 petang.

Pada 21 Januari lalu, Hamid Sultan gagal dalam permohonannya bagi mencabar tindakan JEC menjalankan prosiding inkuiri terhadapnya secara tertutup selepas Hakim Mariana membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC), untuk membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Hamid Sultan.

Hamid Sultan menfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan, bagaimanapun tarikh pendengaran rayuan itu masih belum ditetapkan.

Pada 20 Okt tahun lalu, Hamid Sultan telah memfailkan permohonan semakan itu dengan menamakan pengerusi JEC dan JEC masing-masing sebagai responden pertama dan kedua, dan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden seperti dalam surat responden pertama bertarikh 28 dan 29 Sept 2020, berhubung prosiding inkuiri secara tertutup, selain deklarasi bahawa keputusan itu tidak sah dan batal, serta bercanggah dengan Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat adalah Pengerusi JEC ketika ini.

Hamid Sultan, dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama semakan kehakiman berkata, permohonan itu difailkan berdasarkan keputusan responden pertama, untuk menyiasat dua aduan yang dibangkitkan terhadapnya oleh hakim lain, membabitkan penghakimannya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya menentang Aluma Mark Chinonso & satu lagi, serta afidavit yang disahkannya bagi menyokong saman pemula difailkan peguam Sangeet Kaur Deo, yang memohon beberapa deklarasi berhubung keputusan mahkamah dalam rayuan bapanya, mendiang Karpal Singh.

Menurut Hamid Sultan, siasatan berhubung salah laku membabitkan hakim tidak boleh dilakukan secara tertutup, kerana ia bercanggah dengan prinsip kebebasan kehakiman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 1:33 PM