GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan serta berharap agar pihak berkuasa berkaitan menjalankan pemuliharaan dan pemeliharaan yang lebih intensif terhadap bangunan bersejarah di Kuala Lumpur khususnya yang mempunyai kaitan dengan negeri ini.

Dalam titah perutusan dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda bertitah, kebanyakan bangunan tersebut memiliki nilai sejarah tinggi dan menjadi tumpuan pelancong.

Baginda memberi contoh Bangunan Sultan Abdul Samad yang dirasmikan pada 1897 dan pernah menjadi pusat pentadbiran negeri semasa Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Selangor sehingga 1974.

Menurut titah itu, baginda juga pernah bertugas sebagai penjawat awam bersama kerajaan Selangor di bangunan tersebut pada 1968.

"Baginda bimbang jika bangunan dan monumen seumpamanya tidak dipulihara secepat mungkin dan terbiar dimamah usia, akhirnya ia akan runtuh atau rosak sehingga tidak boleh diselamatkan.

"Jika itu berlaku, kos pemuliharaan akan menjadi lebih tinggi dan seterusnya merugikan negara," titah baginda sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan esok.

Menurut Sultan Selangor, bangunan bersejarah seperti Carcosa Seri Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Gereja St Mary, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTM, Istana Negara lama serta Stadium Merdeka yang sarat dengan kisah sejarah pembentukan negara kebanyakan mempunyai kaitan rapat dengan Selangor.

Baginda bertitah seni bina Moor dan Moghul yang melatari reka bentuk bangunan bersejarah sekitar Kuala Lumpur juga mempunyai cerita unik tersendiri dan perlu dipulihara untuk dihargai serta dikagumi generasi akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 1:19 PM