MOHD Hajazy Jusoh. FOTO BAHAROM BAKAR
MOHD Hajazy Jusoh. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Jabatan Tenaga Kerja negeri (JTKN) menggesa 580 majikan di sektor pembinaan dan perkilangan segera melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing mereka.

Pengarah JTKN, Mohd Hajazy Jusoh berkata hanya 1,013 daripada 5,413 pekerja asing yang berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah menjalani ujian saringan sejak operasi penguatkuasaan program saringan ujian Covid-19 dilakukan mulai Rabu lalu.

Menurutnya, berdasarkan jumlah pekerja asing yang berdaftar dengan JIM dan berkerja di sektor itu di negeri ini, masih terdapat 4,400 pekerja asing dari 580 majikan belum menjalani ujian saringan Covid-19.

"JTKN dan semua agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) akan melakukan operasi dan mengambil tindakan ke atas majikan yang gagal melakukan ujian saringan ke atas pekerja mereka.

"Kita tidak akan berkompromi dan majikan yang gagal melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja mereka akan dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hajazy berkata, semua majikan diwajibkan kerajaan untuk memastikan pekerja asing yang digajikan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 berkuat kuasa mulai awal bulan ini bagi menangani penularan pandemik itu.

"Kita sudah mengesan dan sudah membuat gesaan supaya 580 majikan di seluruh negeri ini untuk melakukan saringan keatas pekerjanya selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita memutuskan dengan berbekalkan seramai 20 anggota bagi setiap agensi termasuk dari JTKN, Perkesoa dan JKKP untuk terus komited bagi membantu kerajaan dalam usaha menangani dan mengurangkan jangkitan pandemik Covid-19 kalangan pekerja asing sehingga operasi ditetapkan kerajaan kerajaan berakhir akhir bulan depan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 10:01 AM