Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bandar raya ini kembali lengang dan sunyi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan 13 Januari lalu.

Semalam, genap setahun kes pertama wabak Covid-19 dikesan di bandar raya ini yang membabitkan warga China yang masuk ke Johor Bahru dari Singapura untuk bercuti.

Tinjauan di sekitar di Jalan Tun Abdul Razak mendapati laluan utama memasuki pusat bandar lengang dan kosong berbanding sebelum PKP 2.0, yang sentiasa bertali arus dengan kenderaan.

Pusat beli-belah dan deretan rumah kedai di situ yang sebelum ini sentiasa dipenuhi orang ramai, kini kembali sunyi seperti PKP yang pertama, 18 Mac tahun lalu.

Pekerja stesen minyak yang mahu dikenali sebagai Darus, 35, berkata suasana sunyi dan lengang di pusat bandar Johor Bahru berlaku sejak kelmarin.

Katanya, keadaan lenggang dan sunyi bandar raya ini mengingatkannya kepada PKP pertama tahun lalu.

"Jalan Tun Abdul Razak yang juga nadi bandar raya ini, sejak Jun tahun lalu sudah kembali sibuk dengan orang ramai apabila kerajaan membuka kembali sektor ekonomi.

"Selain pusat beli-belah utama di sini terdapat banyak pejabat kerajaan dan swasta dengan setiap kali waktu rehat akan kelihatan ramai pekerja keluar makan ke medan selera di sini.

"Namun kini suasana semakin sepi mungkin ramai yang bimbang keluar jika tiada urusan penting apatah lagi penguatkuasaan PKP yang ketat dengan sekatan jalan raya (SJR) membuatkan kunjungan orang ramai makin berkurangan," katanya ketika ditemui.

Pada 24 Januari tahun lalu, Kementerian Kesihatan Singapura dilaporkan mengumumkan seorang warga emas berusia 66 tahun dari Wuhan, China yang sedang bercuti di republik itu, disahkan positif dijangkiti Covid-19, yang juga kes pertama di republik itu.

Media kemudian melaporkan lapan warga China yang juga ahli rombongan bersama warga emas itu sudah memasuki Johor Bahru dan sedang dikuarantin di sebuah hotel di bandaraya ini.

Pada 25 Januari tahun lalu pula, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan mengesahkan tiga warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor Bahru disahkan positif Covid-19.

Kesemua mangsa terdiri daripada seorang wanita warga emas berusia 66 tahun serta dua cucunya masing-masing 11 dan dua tahun.

Kesemua mereka adalah ahli keluarga terdekat kepada kes pertama yang berlaku di Singapura.

Sementara itu, peniaga makanan di medan selera sebuah pusat beli-belah di Jalan Tun Abdul Razak yang mahu dikenali Maznah, 48, berkata medan selera di situ yang sentiasa dipenuhi orang ramai terutama pekerja swasta dan kerajaan untuk menjamu selera kini sepi.

"Dulu kami peniaga di sini tak menang tangan melayan pesanan orang ketika waktu tengah hari sehingga petang, namun sekarang yang beli bungkus pun boleh dikira dengan jari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 4:25 PM
KEADAAN lengang dan kurang kenderaan di Jalan Tun Abdul Razak berikutan pelaksanaan PKP 2.0. FOTO Zain Ahmed
KEADAAN lengang dan kurang kenderaan di Jalan Tun Abdul Razak berikutan pelaksanaan PKP 2.0. FOTO Zain Ahmed