TINJAUAN ke pusat tarikan pelancong di Petaling Street. FOTO Fariz Iswadi Ismail
TINJAUAN ke pusat tarikan pelancong di Petaling Street. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Kawasan tumpuan ramai termasuk pusat beli belah di ibu kota dilihat sepi dan lengang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Tinjauan Harian Metro seawal jam 10 pagi di lima pusat tumpuan ramai berbeza di ibu kota yang dahulunya sesak mendapati kawasan berkenaan sangat lengang.

Antara kawasan dilawati adalah Jalan Masjid India, Petaling Street, Pasar Seni, Menara Berkembar Petronas (​KLCC) dan Dataran Merdeka.

Wartawan dapat merasai suasana sunyi di kawasan yang dahulunya 'sesak' dengan kelibat pekerja pejabat dan pengunjung.

Malah, wartawan hanya dapat melihat kelibat gelandangan yang duduk berehat di kawasan itu.

Selain pusat tumpuan ramai, jalan utama di pusat bandar juga dilihat lengang cuma sesekali kelihatan beberapa penghantar makanan menunggang motosikal dipercayai untuk menghantar pesanan pelanggan.

Beberapa penghantar makanan juga dilihat menunggu di kawasan pusat beli-belah untuk mengambil atau menghantar pesanan.

Sepanjang tinjauan dilakukan, Petaling Street menarik perhatian wartawan yang mana ia boleh disifatkan sebagai kawasan 'mati'.

Ini kerana hampir semua kedai di kawasan itu ditutup bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:50 PM