Tinjauan orang ramai menghabiskan masa cuti Raya dengan berkunjung di IOI Mall Putrajaya berikutan kerajaan melarang untuk beraya kw rumah rakan atau sanak saudara selepas hari raya pertama pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Tinjauan orang ramai menghabiskan masa cuti Raya dengan berkunjung di IOI Mall Putrajaya berikutan kerajaan melarang untuk beraya kw rumah rakan atau sanak saudara selepas hari raya pertama pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Amir Abd Hamid


MESKIPUN jumlah pengunjung ramai namun masing-masing didapati mengikut Standard Prosedur Operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan kerajaan.

Itu hasil tinjauan Harian Metro di di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya yang dilihat meriah dengan pengunjung tetapi majoriti masih mengambil sikap berhati-hati selaras SOP dirangka untuk memutuskan penularan Covid-19.

Bagi pihak pengunjung, hampir 100 peratus memakai pelitup muka dan mengikuti arahan ketika memasuki pusat beli-belah itu.

Pengunjung perlu mengimbas kod QR dengan mengisi butiran diri di dalam aplikasi yang sudah disediakan di pintu masuk.

Pintu masuk juga dikawal polis bantuan dan kakitangan pusat beli-belah itu yang turut dilengkapi alat pengimbas suhu badan mudah alih untuk memastikan hanya pengunjung sihat saja dibenarkan masuk.

Tinjauan mendapati kawasan yang agak sesak adalah di kawasan medan selera pusat beli-belah namun keadaan didapati masih terkawal.

Di setiap lot perniagaan di dalam IOI City Mall juga, kakitangan sudah mempersiapkan diri untuk melakukan pemeriksaan pengunjung termasuk mengimbas suhu dan menyediakan cecair pembasmi kuman.

Bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi, jumlah pengunjung juga dihadkan untuk memasuki mana-mana lot perniagaan di pusat beli-belah yang terkenal di pusat pentadbiran negara itu.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak teragak-agak untuk menutup mana-mana premis termasuk pusat beli-belah yang gagal mematuhi SOP ditetapkan sewaktu PKPB.

Di Johor, kelmarin, pusat beli-belah Aeon Mall Tebrau City, di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru akur tutup sementara apabila diminta oleh KKM.

"Kami berjanji akan memberi sepenuh komitmen bagi mematuhi SOP PKPB yang digariskan dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung hal ini.

"Terima kasih atas sokongan pelanggan, kami amat menghargainya dan akan memaklumkan kepada pelanggan sebaik saja kami beroperasi.

"Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan berterima kasih atas kesabaran dan kerjasama anda," kata kenyataan dikeluarkan Aeon Mall Tebrau City.

Notis arahan penutupan premis itu oleh KKM tular di media sosial.

Notis antara lain memaparkan arahan penutupan premis berkenaan dibuat mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula dari jam 4 petang 25 Mei 2020 sehingga 1 Jun 2020.

Namun tidak sampai 24 jam notis penutupan ke atas pusat membeli-belah Aeon Mall Tebrau City Johor Bahru dikeluarkan KKM, pusat beli-belah itu kini dibuka semula bermula semalam.

Difahamkan, hanya 100 pelanggan saja dibenarkan masuk pada satu-satu masa dengan sistem nombor giliran dan kawalan lebih ketat dilaksanakan di premis berkenaan.

Menerusi laman sosial rasmi Facebook Aeon Mall Tebrau City menyatakan, premis itu dibuka semula selepas mendapat persetujuan daripada KKM sejak pagi semalam.

"Kami akan terus mematuhi SOP KKM dalam melaksanakan langkah berjaga-jaga yang diperlukan termasuk pemeriksaan suhu, penggunaan sanitasi tangan, kakitangan yang memakai pelitup mulut serta kawalan penjarakan sosial pengunjung.

"Sebagai tambahan, pegawai yang menjaga jarak sosial akan melakukan rondaan kerap di pusat beli-belah. Ia bertujuan mengingatkan pelanggan supaya menjaga jarak selamat semasa dalam barisan," kata kenyataan terbaru Aeon Tebrau City itu, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 4:43 PM