SEBAHAGIAN hasil tani cuba diseludup masuk. FOTO Ihsan MAQIS.
SEBAHAGIAN hasil tani cuba diseludup masuk. FOTO Ihsan MAQIS.
Noorazura Abdul Rahman


HAMPIR dua tan hasil tani bernilai RM10,000 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah di laluan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, malam semalam.

Pengarahnya Lily Rosalind berkata, semua hasil tani itu dipercayai cuba diseludup menggunakan lori ke Malaysia pada jam 9.30 malam.

“Ketika diperiksa pemandu lori itu gagal menunjukkan dokumen sah seperti import permit dan sijil fitosanitasi bagi membawa masuk hasil pertanian berkenaan.

“Untuk itu MAQIS merampas 752.94 kilogram (kg) cili padi, 520 kg ubi keladi, 300 kg mangga, 270 kg halia dan 151.84 kg bunga.

“Sebanyak 116 kg buah dan daun limau purut turut dirampas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lily Rosalind berkata, syarikat pengimport itu akan dikenakan kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Perkompaunan Kesalahan) 2019.

Selain itu, katanya perbuatan mengimport sesuatu barangan tanpa permit yang sah adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (AKTA 728).

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya

Beliau memberitahu barangan yang dirampas akan disita dan dimusnahkan mengikut prosedur ditetapkan, mengelak risiko penyakit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 2:25 PM