Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Biarpun dalam keadaan jari melekat dan berbalut akibat menderita penyakit kulit rapuh atau 'Epidermolysis Bullosa (EB)', Muhammad Alif Firdaus Mohd Rosdy tetap gigih mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang itu begitu bersemangat untuk belajar walaupun fizikalnya tidak seperti kanak-kanak lain.

Seawal jam 7 pagi, anak bongsu daripada tiga beradik itu sudah bangun untuk mempersiapkan diri sebelum membuat latihan diberi guru menerusi aplikasi WhatsApp.

Ibunya, Ruziah Ismail, 42, berkata, dia bersyukur, dalam serba kekurangan dan penyakit yang dihadapi, ia tetap tidak mematahkan semangat Muhammad Alif Firdaus untuk belajar.

"Sejak dulu Muhammad Alif Firdaus rajin belajar walaupun pergerakannya agak perlahan akibat penyakit dihidapinya.

"Hari ini hari kedua sesi persekolahan dan Alhamdulillah, Muhammad Alif Firdaus dapat menyiapkan tugasan diberi guru walaupun mengambil masa agak lama," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Chekok di sini, hari ini.

Ruziah Ismail, 42, sentiasa menemani anaknya Muhammad Alif Firdaus Mohd Rosdy murid Tahun Empat  Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang dan abangnya, Amirul Izra Mohd Rosdy, 12 belajar menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)  dalam keadaan jari melekat dan berbalut akibat menderita penyakit kulit rapuh atau Epidermolysis Bullosa (EB)  ketika ditemui dirumahnya di Kampung Tapang, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Ruziah berkata, sepanjang sesi pembelajaran anaknya berlangsung, dia perlu berada berdekatan dan menyediakan peralatan yang cukup memandangkan pergerakan Muhammad Alif Firdaus yang sedikit terbatas.

"Memang saya akan memastikan kerja sekolahnya sudah siap sebelum saya membuat kerja rumah. Saya bersyukur walaupun tidak dapat ke sekolah, semangat belajarnya masih sama," katanya.

Ketika ditanya tahap kesihatan Muhammad Alif Firdaus, Ruziah berkata, keadaannya masih sama dan perlu berjumpa dengan doktor setiap tiga bulan.

"Untuk pembalut luka, saya membelinya sendiri dan temujanji dengan doktor pula bagi memeriksa keadaan mata, gigi dan kulit kesan penyakit terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 4:44 PM