MOHD Sharif (tiga kiri) dan Ikhlas (kanan) memeriksa barangan disumbangkan kepada guru yang menjadi mangsa banjir di Kemaman. FOTO BAHAROM BAKAR.
MOHD Sharif (tiga kiri) dan Ikhlas (kanan) memeriksa barangan disumbangkan kepada guru yang menjadi mangsa banjir di Kemaman. FOTO BAHAROM BAKAR.
Baharom Bakar


Chukai: Sebanyak 12 sekolah termasuk lapan sekolah kebangsaan di daerah Kemaman ditenggelami banjir gelombang kelima yang berakhir Selasa lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (Sektor Pembangunan Murid), Mohd Sharif Ab Latif berkata, tiada kerosakan harta benda dilaporkan berlaku walaupun ditenggelami air antara 2.13 meter dan 3.65 meter.

Beliau berkata, guru dan pengurusan sekolah itu membuat persiapan awal apabila memindahkan semua barang termasuk komputer dan buku ke tempat lebih tinggi sebelum dinaiki air.

"Kerja pembersihan semua sekolah termasuk empat sekolah menengah dilakukan secara bergotong-royong membabitkan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Semua sekolah terbabit terpaksa dibersihkan awal bagi memastikan tidak menjejaskan sesi persekolahan yang sepatutnya dibuka hari ini," katanya pada sidang media selepas mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani pada majlis penyampaian sumbangan kepada keluarga warga pendidikan mangsa banjir daerah Kemaman di Pejabat Pendidikan daerah, di sini, hari ini.

Bantuan berupa makanan keperluan asas, pakaian, telekung, air minuman, cadar dan selimut bernilai RM10,000 itu disumbangkan Ikhlas.Com.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.Com, Ikhlas Kamaruddin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 10:01 PM