GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

AirAsia.com, melancarkan kempen Derma Dengan Ikhlas, inisiatif derma digital awam dalam platform Ikhlas.com yang selamat dan terjamin bagi individu atau organisasi yang ingin menjalankan tanggungjawab amal mereka di bulan Ramadan.

Inisiatif tabung derma ini dijalankan dengan kerjasama Yayasan Amanah Assofwah Almalikiyyah, di mana dana itu akan digunakan untuk membantu komuniti yang memerlukan serta pasukan barisan hadapan dan masa sama membantu peniaga tempatan di bulan Ramadan ini.

Ketua Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, sambutan bulan Ramadan tahun ini sudah pasti jauh berbeza tetapi satu perkara yang tidak akan berubah adalah amalan bersedekah.

“Kami berbesar hati untuk melancarkan inisiatif yang memberi peluang kepada semua orang untuk bekerjasama dan bersama membantu mereka yang memerlukan pada bulan mulia ini.

“Inisiatif ini ditubuhkan untuk menyediakan platform bagi membantu penderma menyalurkan sumbangan ikhlas mereka, yang akan digunakan untuk tujuan sedekah sepanjang Ramadan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Menurutnya, pihaknya berharap dapat mengedar barang keperluan asas kepada 5,000 keluarga dan juadah berbuka puasa kepada lebih 20,000 individu sepanjang Ramadan ini.

“Kami akan membeli bekalan daripada lebih 100 peniaga kecil dan sederhana dengan tujuan membantu perniagaan mereka pada masa yang sukar ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 11:30 AM