GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditahan kerana memiliki pelanduk yang dijumpai di dalam kenderaan Land Rover merah dengan tulisan 'Polis' di Empangan Talang, Kuala Pilah, dekat sini, Ahad lalu.

Mereka ditahan pada 1 tengah hari selepas pemeriksaan Pegawai Penguatkuasaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terhadap sebuah plastik putih dalam kenderaan terbabit.

Sumber memberitahu, hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati terdapat hidupan liar terlarang dalam kenderaan berkenaan.

Katanya, semua yang ditahan itu berusia antara 33 hingga 47 tahun dan bertugas di FRU Cawangan Seremban, di sini.

"Dalam kejadian 1 tengah hari Ahad lalu, anggota dan Pegawai Penguatkuasaan (PP) Jabatan Perhilitan menahan kenderaan Land Rover merah di jalan besar Kampung Talang berdekatan Empangan Talang, Kuala Pilah.

"Penguat kuasa memaklumkan ingin membuat pemeriksaan dalam kenderaan terbabit.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki lapan anggota FRU itu, ditemui satu kampit plastik hidupan liar disyaki pelanduk.

"Pengadu kemudian bertanyakan perihal hidupan liar berkenaan kepada pegawai di situ dan beliau mendakwa hidupan liar itu adalah miliknya," katanya di sini, hari ini.

Sumber itu berkata, pegawai Perhilitan terbabit kemudian memaklumkan mereka telah melakukan kesalahan terhadap semua hidupan liar disimpan.

Menurutnya, antara barang dirampas ialah sebuah kenderaan Land Rover merah, satu kampit plastik hidupan liar disyaki pelanduk, tong Coleman dan satu gugusan kunci kenderaan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 5:48 PM