POKOK hiasan diseludup dari Thailand. FOTO ihsan PGA9.
POKOK hiasan diseludup dari Thailand. FOTO ihsan PGA9.
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Anggota Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA9) menahan seorang wanita dipercayai menyeludup pokok hiasan bernilai RM102,900 di pengkalan haram Jeram Perdah, di sini, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superitenden Nor Azizan Yusof berkata ketika kejadian 7.30 malam itu, anggota bertugas terserempak kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, intipan dilakukan selama 30 minit dan pihaknya mengekori kereta terbabit yang mendekati bahagian tebing sungai sebelum mengesan sebuah perahu dari Thailand mendekati kenderaan itu.

"Kelihatan sekumpulan lelaki memunggah beg plastik dari perahu ke dalam kenderaan itu dan anggota menghampiri mereka, tetapi kumpulan lelaki ini melarikan diri dengan menaiki perahu ke seberang.

"Kami menemui seorang berusia 46 tahun seorang diri di adlam kenderaan itu dan pemeriksaan menemui bungkusan plastik berwarna biru mengandungi pokok hiasan diseludup dari Thailand dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan.

"Wanita terbabit ditahan dan kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 8:34 PM