SUKARELAWAN membersihkan rumah suami isteri OKU yang ditenggelami banjir lebih satu meter di Kampung Bukit Mentok. FOTO ZAID SALIM
SUKARELAWAN membersihkan rumah suami isteri OKU yang ditenggelami banjir lebih satu meter di Kampung Bukit Mentok. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Chukai: Tiada lain yang dapat diucapkan pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) apabila ada pihak yang sudi bergotong royong membersihkan kediaman mereka yang ditenggelami banjir.

Selain bisu dan pekak, Mohammad Ibrahim, 75, juga menghidap Parkinson menyebabkan pergerakannya terbatas sekaligus menghalangnya untuk melakukan kerja pembersihan setiap kali rumahnya di Kampung Bukit Mentok, di sini, ditenggelami banjir.

"Saya hanya ada tiga anak dan semuanya perempuan manakala isteri, Khatijah Sulaiman, 61, juga tidak berapa sihat selain juga berstatus OKU bisu dan pekak.

"Tidak ada apa yang dapat saya balas selain ucapan terima kasih sahaja," katanya ketika ditemui di rumah anaknya di Kampung Gong Pauh, di sini.

Dia berkata demikian kepada media dengan diterjemahkan oleh anaknya, Hafizah, 33.

Mohammad bersama isteri menumpang rumah anak bongsunya, Haslinda, 29, selepas kediaman didudukinya bersama dua lagi anak, Hazirah, 35, dan Hafizah ditenggelami air sedalam lebih satu meter dalam banjir gelombang kelima yang melanda daerah ini, dua minggu lalu.

Hafizah berkata, setiap kali banjir besar melanda, dia mengambil masa selama dua minggu untuk mencuci segala kotoran dalam rumah dan pakaian serta peralatan elektrik dan barangan dapur yang dipenuhi lumpur.

Katanya, dia terpaksa mengambil masa lama untuk membersihkan segala kotoran itu memandangkan tidak memiliki adik beradik lelaki manakala kedua ibu bapanya pula tidak sihat.

"Hanya saya bersama kakak, Hazirah, 35, dan adik, Haslinda, 29, yang ada manakala ibu, Khatijah Sulaiman, 61, perlu menjaga ayah selain tidak sihat.

"Selain lumpur yang tebal, saya juga bimbang dengan kehadiran haiwan berbisa seperti ular dan lipan. Oleh itu kami perlu berhati-hati ketika melakukan proses pembersihan.

"Saya bersyukur dan terima kasih kepada sukarelawan yang datang membantu membersih rumah kami," katanya ketika ketika ditemui bersama sukarelawan bergotong royong melakukan kerja pembersihan rumah keluarganya, kelmarin.

Sukarelawan itu terdiri daripada 10 individu dari beberapa kampung di Kuala Terengganu, Kertih dan Kemaman yang sanggup membantu penduduk yang rumah mereka terkesan akibat banjir yang melanda baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 10:23 PM