Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis memberi masa tiga hari kepada individu dan syarikat untuk mendapatkan surat kebenaran terkini daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi bekerja serta beroperasi sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang berkuatkuasa hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ini kerana masih ramai pengguna jalan raya yang menggunakan surat kebenaran lama semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) dan memberi alasan surat baharu dalam proses kelulusan kementerian terbabit.

Menurutnya, pihaknya tidak mengenakan sebarang kompaun terhadap mereka yang masih menggunakan surat kebenaran lama itu.

"Kita beri mereka tempoh tiga hari bermula hari ini selaras arahan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamad.

"Selepas tempoh itu, individu dan syarikat yang masih gagal mengemukakan surat kebenaran baharu akan dikenakan tindakan kompaun. Kita tidak akan berkompromi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

ANGGOTA polis trafik memeriksa kenderaan yang menuju ke ibu kota. FOTO Zulfadhli Zuklifli
ANGGOTA polis trafik memeriksa kenderaan yang menuju ke ibu kota. FOTO Zulfadhli Zuklifli

Terdahulu, beliau mengetuai Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kilang elektronik dan pemprosesan makanan di Kota Damansara serta Kelana Jaya, di sini, dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya MBPJ).

Mohamad Fakhrudin berkata, sebanyak lapan premis sektor perkilangan dan perkhidmatan diperiksa sebelum mendapati kesemua premis mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mengekalkan SJR sedia ada di kawasan plaza tol dan jalan utama selain menyediakan 10 SJR Bergerak serta 14 pasukan penguatkuasaan yang akan melakukan pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP.

"Kita juga mendapatkan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, unit dron dari Pasukan Gerakan Udara, Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Simpanan Persekutuan untuk menguatkuasakan SOP MKN.

Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, surat kebenaran pergerakan yang dikeluarkan MITI semasa Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini tidak boleh diguna pakai dan kesemua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh SPP dilaksanakan perlu membuat permohonan baharu daripada MITI.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 3:47 PM