GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Sebanyak 65 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini membabitkan individu yang datang dari zon merah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT) Dr Nor Azimi Yunus melalui Facebooknya memaklumkan, seramai 6,246 individu dari zon merah yang masuk ke negeri ini disaring dan hasilnya berjaya mengesan 65 kes positif Covid-19.

Katanya, seramai 45 daripada 866 orang kontak rapat kepada individu terbabit dikesan positif Covid-19.

"Jumlah kes positif Covid-19 hasil rentas negeri adalah seramai 110 orang dan semua kes dimasukkan ke hospital manakala semua kontak rapat dikuarantin.

"Pegawai dan kakitangan kesihatan perlu gandakan usaha untuk pengesanan, saringan, rawatan dan isolasi dengan pantas supaya wabak lebih besar dapat dicegah," katanya.

Berdasarkan situasi terkini pandemik Covid-19 hari ini, sebanyak 41 kes baharu dilaporkan menjadikan sebanyak 162 kes aktif dengan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 525 kes.

JKNT melalui FB memaklumkan, semua 162 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19, di Hospital Hulu Terengganu (HHT), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Pusat Kuarantin dan Rawatan Pesakit COVID-19 berisiko rendah (PKRC) Marang dan di PKRC ILKKM Kuala Terengganu.

Katanya, terdapat 106 kes import B atau rentas negeri direkodkan di seluruh negeri sejak Khamis lalu.

"Kes import B yang direkodkan itu menghasilkan 48 kes penularan tempatan dan 55 kes penularan tempatan disebabkan oleh pendedahan kepada kes positif negeri luar yang datang ke negeri ini.

"Bagi membendung penularan tempatan dan menjaga zon hijau di negeri ini, individu yang memasuki negeri ini adalah digalakkan hadir ke klinik kesihatan dan hospital berdekatan untuk menjalani penilaian risiko oleh petugas kesihatan," katanya.

Katanya, individu yang siap menjalani ujian saringan di luar negeri dinasihatkan untuk menunggu sehingga keputusan ujian diperolehi sebelum membuat perjalanan ke negeri ini.

"Jika individu berkenaan terpaksa pulang segera atas sebab penting, mereka perlu sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 11:40 PM