Foto hiasan
Foto hiasan
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Rakyat Sabah yang mahu ke Semenanjung, Sarawak atau Labuan hanya perlu membawa laporan ujian saringan Covid-19 dengan keputusan negatif sebelum dibenarkan meninggalkan negeri ini mulai esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, selepas tiba di mana-mana destinasi itu, individu dari negeri itu tidak lagi diperlukan menjalani kuarantin wajib 14 hari seperti sebelum ini jika tiada gejala.

Menurutnya, laporan ujian calitan sudah memadai tetapi saringan itu perlu diambil tiga hari sebelum tarikh individu terbabit berangkat.

Katanya, keputusan ujian berkenaan akan menentukan sama ada mereka dibenarkan atau tidak untuk meninggalkan negeri ini.

"Mulai 25 November (esok), pengembara yang tiba dari Sabah hanya perlu menjalani calitan ujian pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain.

"Sekiranya individu itu positif COVID-19 atau bergejala, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah," katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19 Sabah di sini, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah dan jurucakap Covid-19 kerajaan negeri berkata, individu yang didapati positif Covid-19 akan dirujuk terus ke hospital untuk rawatan dan pemantauan.

Bagi individu yang bergejala pula, katanya, mereka akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan.

"Bagi pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka akan menjalani saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan saringan Covid-19 dan diwajib menggunakan aplikasi MySejahtera setibanya di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

"Sekiranya tidak bergejala dan laporan ujian makmal Covid-19 disahkan negatif, mereka tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari," katanya.

Hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataannya dipetik berkata semakan semula prosedur saringan kesihatan bagi pengembara dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah itu mengambil kira situasi semasa kes Covid-9 di negeri itu.

Sabah mulai merekodkan penurunan kes positif Covid-19 dengan sebanyak 232 kes baharu direkodkan hari ini berbanding 289 kes semalam dan 311 kes Ahad lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 10:20 PM