Murnaena Muhammad Nasir


Petaling Jaya: Cuaca hujan sejak lima hari lalu di sekitar Lembah Klang menjadikan perniagaan dobi layan diri mendapat sambutan luar biasa.

Tinjauan di Pusat Komersial Petaling Jaya (PJCC) mendapati empat pusat dobi layan diri di lokasi berbeza di sini dipenuhi pelanggan.

Mesin pengering baju antara perkhidmatan yang menjadi tumpuan rata-rata penduduk yang tinggal di Taman Medan, di sini.

Suri rumah, Siti Aishah Othman, 33, berkata, ini kali pertama dia menggunakan kemudahan itu.

"Cuaca lembap menyebabkan saya tidak dapat mencuci pakaian selama tiga hari kerana bimbang tidak kering.

"Maka pilihan yang ada ialah basuh di rumah dan gunakan mesin pengering di dobi supaya baju tidak berbau hapak," katanya.

Menurut ibu dua anak itu, dia turut membantu empat ahli keluarganya yang lain mengeringkan pakaian di dobi berkenaan.

Bagi Muhammad Shafiq Ab Rahim, 25, keluarganya sudah tiga hari tidak membasuh pakaian kerana khuatir tidak kering disebabkan hujan.

"Saya sudah lama tidak menggunakan perkhidmatan dobi. Jadi musim hujan ini perkhidmatan dobi layan diri banyak membantu untuk membasuh dan mengeringkan pakaian," katanya.

Sementara itu, pekerja khidmat pelanggan sebuah dobi yang tidak mahu dikenali berkata, premisnya menerima kunjungan pelanggan luar biasa sejak tiga hari lalu dari 6 pagi hingga 10 malam.

SITI Aishah mengunakan dobi layan diri mengeringkan pakaian disebabkan musim tengkujuh dengan cuaca lembab sejak 5 hari lalu. FOTO ROHANIS SHUKRI.
SITI Aishah mengunakan dobi layan diri mengeringkan pakaian disebabkan musim tengkujuh dengan cuaca lembab sejak 5 hari lalu. FOTO ROHANIS SHUKRI.

"Mesin pengering antara yang paling banyak digunakan dan sentiasa penuh.

"Sehingga ada pelanggan yang terpaksa menunggu dan ada antaranya memilih pergi ke kedai dobi lain sekitar sini kerana mahu urusan lebih cepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 4:56 PM