KAMAROL Zaman dan Fatimah di rumahnya. FOTO NAZRI ABU BAKAR
KAMAROL Zaman dan Fatimah di rumahnya. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: "Siang saya mengurut orang, malam saya kerja di kedai makan," kata Kamarol Zaman Abd Latif iait orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan yang menetap di Kampung Perling, Simpang Empat, di sini.

Kamarol Zaman, 59, berkata dia lebih selesa bekerja daripada tidak membuat apa-apa, sekali gus dapat bertemu dan berkhidmat dengan orang ramai.

Lebih menakjubkan, isterinya Siti Fatimah Abdul Hamid, 57, yang cacat penglihatan turut mengusahakan kerepek peria goreng di rumahnya.

Kamarol Zaman berkata, sebelum buta, dia mengalami kecacatan mata sejak kecil dan lebih ketara ketika di sekolah rendah dan menengah.

"Kerosakan saraf teruk dan kronik menyebabkan penglihatan saya semakin terus selepas berkahwin dan terpaksa berhenti kerja di kilang kicap di Melaka.

"Saya hanya sempat melihat wajah anak pertama sahaja, selepas itu tidak dapat menatap wajah anak kedua yang kini masing-masing sudah berusia 32 dan 26 tahun," katanya yang dikurniakan tiga cucu.

Katanya, sudah bekerja lebih 10 tahun dia bekerja mencuci pinggan di kedai makan dan gembira kerana dapat bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Menurutnya, kerja urutan refleksologi pula dilakukan pada sebelah siang yang turut membolehkannya mengisi masa terluang dengan aktiviti bermanfaat.

Katanya, dia bersyukur dengan apa yang berlaku ke atas dirinya kerana setiap kejadian pasti ada hikmah tersembunyi.

Sementara itu, Siti Fatimah berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi walaupun cacat sejak lahir berikutan dikurniakan dua cahaya mata normal.

Menurutnya, selain membuat kerepek, dia turut menanam cili dan ulam-ulaman bagi menambah pendapatan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 4:17 PM