Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Polis Kelantan melakukan sekatan laluan Madrasah Daril Naim, Melor di sini, bermula petang semalam bagi mengekang penularan Kluster Halban yang dikesan di kawasan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, tindakan segera diambil selepas ia dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Negeri Kelantan yang bersidang semalam.

"Selepas mesyuarat semalam, pihak kami mengambil tindakan segera menyekat laluan keluar masuk dari pondok ini bermula semalam.

"Sekatan dibuat di dua laluan keluar masuk di sini dan dengan adanya sekatan ini, penghuni tidak dapat keluar bebas.

"Secara rasmi kami belum menerima arahan agar diadakan Perintah Kawalan Pergerakan Daerah (PKPD) lagi tapi ia adalah inisiatif sendiri untuk mengekang penularan Kluster Halban," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdullah berkata, penugasan di kawasan itu membabitkan sembilan anggota polis dalam satu-satu masa selama 24 jam secara bergilir dan pihaknya mendapat kerjasama yang baik daripada mudir, pelajar dan semua 161 penghuni di kawasan itu.

"Difahamkan, makanan juga sudah dibekalkan oleh pihak badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan semua agensi yang berkaitan.

"Kawalan ini akan kami teruskan sehingga rantaian Covid-19 di kawasan ini dapat diputuskan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Madrasah Daril Naim, Mohamad Aziz Che Man berkata, langkah keselamatan sudah diambil oleh pengurusannya sejak Jumaat lalu berikutan terdapat dua penghuninya positif Covid-19.

Beliau berkata, daripada keseluruhan bilangan penghuni, 47 sudah dimasukkan ke wad di tiga hospital iaitu Hospital Sultan Ismail Petra (Kuala Krai), Hospital Tumpat dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

"Selebihnya menjalani kuarantin di 212 unit kediaman di sini yang mana sejak Jumaat lagi penghuni tidak keluar ke mana-mana, malah makanan juga dihantar ke kediaman masing-masing," katanya.

 Abdullah (kanan) bersama pegawainya memantau sekatan di Madrasah Darul Naim, Melor di Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Abdullah (kanan) bersama pegawainya memantau sekatan di Madrasah Darul Naim, Melor di Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 4:57 PM