GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lelaki berusia 41 tahun parah ditetak anak saudaranya dalam kejadian di kedai telefon berhampiran sebuah flat di Jalan Veterinari, di sini, semalam dipercayai disebabkan perselisihan faham.

Mangsa dilaporkan turut diserang lima lagi rakan suspek dalam kejadian pada jam 9.14 malam itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa dikatakan terlanggar bahu dengan anak saudaranya di sebuah restoran di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini, dua hari lalu.

Katanya, insiden itu menimbulkan perselisihan faham menyebabkan suspek bersama lima rakannya datang ke premis berkenaan semalam, bagi menyerang mangsa.

"Mangsa ditetak menggunakan parang dan cedera di perut, lengan kiri dan kaki kiri sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

"Seramai tiga suspek berusia 25 hingga 28 tahun termasuk anak saudara mangsa sudah ditahan manakala tiga lagi sedang diburu," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, mangsa mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap tiga suspek juga mendapati mereka negatif dadah.

"Dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan mereka direman sehingga 25 Disember bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 2:54 PM