GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Malayan Banking Berhad bagi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan dengan kos, hari ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas mendengar hujah daripada LHDN dan Malayan Banking Berhad.

"Dalam kes ini, pemohon (LHDN) memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar notis taksiran kurangan bagi Tahun Taksiran 2014 dan notis-notis taksiran tambahan bagi Tahun Taksiran 2015, 2016 dan 2017 yang dibangkitkan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN).

"Mahkamah Tinggi menolak permohonan berkenaan dan keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan. Justeru itu, pemohon memfailkan permohonan ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran bagi meneruskan rayuan ke peringkat Mahkamah Persekutuan," katanya.

Menurut kenyataan itu, Timbalan Peguamcara Hasil Dr Hazlina Hussain yang mewakili KPHDN sebagai responden menghujahkan bahawa tidak wujud elemen tidak sah, kesalahan undang-undang dan keadaan luar biasa membolehkan permohonan semakan kehakiman boleh dibenarkan dan perkara itu adalah jelas dibuktikan melalui prinsip diputuskan oleh kes terdahulu.

"Sebagai tambahan, peguam yang mewakili pemohon tidak dapat meyakinkan panel hakim bahawa wujudnya elemen tidak sah, kesalahan undang-undang dibuat oleh KPHDN dalam membangkitkan taksiran dan terdapat keadaan luar biasa yang membolehkan kebenaran semakan kehakiman diberikan.

"Disebabkan itu, pemohon tidak berjaya untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman terhadap KPHDN untuk membatalkan notis-notis taksiran dibangkitkan dan notis-notis taksiran yang dibangkitkan berkenaan adalah betul," katanya.

Mahkamah turut mengarahkan pemohon untuk membayar keseluruhan jumlah cukai tertunggak kepada KPHDN dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan terbabit.

Pemohon diwakili oleh Datuk Palpanaban Devarajoo sebagai peguam utama, S Saravana Kumar dan Ng Kar Ngai dari Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership.

Bagi peguam responden yang mewakili KPHDN adalah Dr Hazlina Hussain (peguam utama LHDNM) serta Jabatan Peguam Negara diwakili Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Krishna Priya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 10:16 PM