TIGA beradik warga Malaysia (dari kiri) Muhammad Adam Danel, Muhammad Arash Raihan, dan Muhammad Muhaimin Putra, bersama ibu mereka Sakina yang merupakan warga Thailand akan dikuarantin selama 10 hari di pusat kuarantin di Stesen Kuarantin Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri, Kota Bharu. FOTO BERNAMA
TIGA beradik warga Malaysia (dari kiri) Muhammad Adam Danel, Muhammad Arash Raihan, dan Muhammad Muhaimin Putra, bersama ibu mereka Sakina yang merupakan warga Thailand akan dikuarantin selama 10 hari di pusat kuarantin di Stesen Kuarantin Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri, Kota Bharu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Narathiwat: "Saya sangat rindu Malaysia," kata Muhammad Adam Danel Mohd Rozi, 11, seorang daripada tiga beradik warga Malaysia yang terkandas di Thailand selama sembilan bulan.

Muhammad Adam Danel bersama dua adiknya - Muhammad Arash Raihan, 7, dan Muhammad Muhaimin Putra, 3, dan ibu mereka Sakina Museh, 38, yang juga warga Thailand dibawa pulang ke Malaysia melalui pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sg Kolok, hari ini.

"Saya tidak sabar mahu sambung belajar. Saya rindu cikgu dan kawan-kawan di sekolah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di ICQS hari ini.

Sakina membawa ketiga-tiga anaknya pulang ke Thailand untuk memperbaharui visa pada 16 Mac lalu apabila tiada orang menjaga mereka di Malaysia selepas suaminya, warga Malaysia, Mohd Roi Ab Rahman yang berasal dari Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas meninggal dunia pada September tahun lalu akibat kanser.

Empat beranak itu terkandas di Thailand apabila kerajaan Malaysia mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menutup pintu sempadan mulai 18 Mac.

Mereka yang tiba di Stesen Kuarantin Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri, di Kota Bharu pada 2 petang (waktu Malaysia) akan menjalani kuarantin 10 hari sebelum pulang ke rumah sewa mereka.

Sakina memberitahu bahawa beliau merancang untuk menjual nasi lemak untuk menyara kehidupan mereka empat beranak.

Berita berkaitan

4 beranak pulang ke Malaysia, 9 bulan terkandas di Thailand

Tiga beradik warga Malaysia terkandas di Thailand

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 9:18 PM